Wednesday 12 June 2013

MyGMJ 2013 MERIAH, SOKONGAN PADU PEMBEBASAN JERUSALEM


SHAH ALAM -  Sekitar 3,000 orang memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada malam 7 Jun 2013 menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap pembebasan Jerusalem dan Palestin dalam program kemuncak Malaysia Global March to Jerusalem (MyGMJ).
Majlis turut dihadiri oleh Exco Selangor, YB Rodziah Ismail, ADUN Taman Medan, YB Haniza Talha, para pimpinan Pertubuhan IKRAM Malaysia, Aqsa Syarif, Viva Palestina Malaysia (VPM), Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Persatuan Mawaddah Malaysia dan al-Quds Foundation Malaysia (QFM), yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran MyGMJ.
Dalam ucapan pembukaan oleh Dr Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif katanya, Baitul Maqdis masih lagi ditawan, tetapi waktu pembebasan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis amat dekat.
“Buktinya adalah perjuangan pada malam ini (GMJ), di sini dan 40 buah negara di seluruh dunia.”
Tambahnya, pada saat yang sama, di waktu yang sama, ada perhimpunan GMJ di Gaza, Kaherah dan banyak bandar-bandar utama di dunia, melaungkan bahasa kemenangan dengan slogan yang sama iaitu “From the river to the sea, Palestine will be free.”
Selepas solat Isyak berjemaah, Konvoi Membebaskan Palestin seramai lebih 130 peserta daripada 7 kelab bermotor melalui dataran dan menyerahkan bendera Palestin kepada Pengerusi MyGMJ, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman, sebagai sokongan terhadap pembebasan Palestin.
Majlis yang dihoskan oleh DJ Idris dan pengacara TV Al-Hijrah, Iman Dzulkefly diteruskan dengan ucapan Pengerusi VPM, Dr Musa Nordin yang juga Timbalan Pengerusi MyGMJ.
“Ini adalah GMJ kita. Ini adalah jiwa dan raga kita bersama untuk Palestin, untuk keamanan, kerana Jerusalem adalah kota keamanan dan keagamaan yang bersejarah.
Selama berabad, penganut Islam, Kristian dan Yahudi tinggal secara aman di Jerusalem. “
Tambahnya, kerana  itulah kita ingin mengembalikan ketenangan dan keamanan kepada Jerusalem, di seluruh dunia.
“Kemanusiaan sedang berhimpun hari ini ke arah keamanan Jerusalem,” ujarnya.
Seterusnya, hadirin mengikuti lintas langsung sambutan GMJ di Kaherah, Mesir oleh wakil delegasi Kelab IKRAM Mesir, Akrom Shamsuri.
Pengarah NGO Palestin di Malaysia, PCOM, Muslim Imran turut berucap menyampaikan penghargaan rakyat Palestin terhadap kesungguhan rakyat Malaysia membantu mereka.
Dalam ucapan Pengerusi MyGMJ, Dr Tahir, katanya, kita berkumpul di Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk membawa impian dan harapan agar keadilan berlaku dan kewujudan bersama secara aman sekali lagi, yang akan menjadi wajah sebenar Jerusalem.
“Malam ini, buat kali kedua kita meraikan hari harapan, bukan sahaja untuk Palestin, tetapi juga untuk semua kemanusiaan termasuk kita, rakyat Malaysia,” tambahnya.
Seusai ucapan, lagu Tell Me Why didendangkan oleh para pelajar Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan (SIMDE). Artis Universal Music, Jes Ibrahim seterusnya menghiasi malam MyGMJ dengan lagu Keamanan. Beliau yang pernah ke Gaza pada Januari lalu, turut mempersembahkan lagu We Will Not Go Down dengan gaya tersendiri.
Puisi syahdu Tidurlah Anakku Palestina turut dideklamasikan oleh Ibu Azlin dan Suhaila daripada Rose2Rose sebagai menghormati dan mengingati perjuangan serta kesabaran para ibu di Palestin membesarkan anak mereka dalam keadaan peperangan.
Seterusnya persembahan Mu’adz dan kumpulan gendang Hafiz menggegarkan dataran dengan nasyid Arab, Nada al-Masjid dan lagu beliau sendiri berdasarkan hadis tentang segolongan pejuang di jalan Allah di sekitar Baitul Maqdis,Amrullah.
Malam MyGMJ tidak lengkap jika tidak ada bacaan puisi bersahaja oleh Pak Agi. Beliau telah mempersembahkan puisi berlagunya yang bertajuk Palestin Tidak Boleh Mati di mana tajuk ini dilaungkan semula oleh para hadirin setiap kali Pak Agi menyebutnya.
Sebagai penghargaan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, tarian tradisi Palestin, Dabka dipersembahkan dengan penuh bertenaga oleh para pemuda Palestin di Malaysia. Hadirin turut mengikut lintas langsung sambutan GMJ di Gaza oleh Ketua delegasi Malaysia, Ustaz Abdul Haris Bain.
MyGMJ dimeriahkan lagi dengan persembahan Yasin dengan lagu ciptaan beliau semasa bersama kumpulan nasyid Brothers,  Satu Perjuangan, sebagai mesej kesatuan perjuangan ke arah keamanan di Palestin.
Lagu Gemuruh pula bergemuruh pada malam MyGMJ nyanyian Faizal Tahir diiringi dengan flash mob oleh 80 pelajar IPT. Yasin dan Faizal Tahir juga buat pertama kali bersama mempersembahkan lagu terbaru mereka, Berani.
Biarpun hujan renyai sejak jam 11.00 malam, hadirin tidak berganjak mengikuti persembahan bertenaga flash mobdengan lagu We Will Not Go DownGelombang Keadilan dan Stand Up yang turut dinyanyikan oleh Mu’adz.
Malam MyGMJ berakhir dengan selawat beramai-ramai, mendoakan keberkatan serta pembebasan Baitul Maqdis dan Palestin. Tahniah kepada penganjur dan para hadirin yang memberikan sokongan padu. Bertemu lagi dalam MyGMJ 2014, insya-Allah.






No comments:

Post a Comment